JAM

Waktu Solat di PAKA, TERENGGANU

Pintu Masuk Masjid

Pintu Masuk Masjid

Saturday, April 3, 2010

Si Mati Telah Kirim Dosa dan Pahalanya ke Akhirat

Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.
Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Dipetik daripada Mauidzah, Harakah, 13-15 November 2009

Kewajipan keenam dalam adab bersahabat adalah mendoakan rakan kawannya semasa dia hidup di dunia dan selepas kematiannya.

Doa perkara yang disukai untuk diri dan ahli keluarganya, serta setiap orang yang ada hubungan dengannya seperti doa untuk diri sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:"Apabila seseorang berdoa untuk sahabat di luar pengetahuannya, maka malaikat berkata;demikian juga semoga Tuhan perkenankan untuk dirimu."

Tuhan menjawab doa tersebut:"Begitu juga lebih dahulu Aku perkenankan untuknya sebelum Kuperkenankan untuk kawannya."

Allah s.w.t. ialah Tuhan yang Maha Mengenang budi, justeru sebelum Dia perkenankan doa untuk sahabat yang didoakan, lebih dahulu diperkenan doa untuk diri orang yang berbudi.

Sebelum diampun dosa sahabat yang dipohon oleh seseorang, terlebih dahulu Allah s.w.t. ampunkan dosa orang meminta keampunan.

Keampunan dosa suatu perkara mustahak yang amat dihajati oleh setiap orang, kerana tiada yang boleh ampun dosa selain Allah s.w.t. Sebuah doa Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Allah s.w.t. mustajabkan doa seseorang mengenai sahabatnya, dengan cara dimustajab doa unutk dirinya sendiri."

Ada kalanya Allah s.w.t. mustajabkan doa untuk sahabat kita, lantaran berkat tolong-menolong saling berdoa untuk sahabatnya.

Berkata Abu Dardak r.a.: "Bahawa aku berdoa dalam sujudku (solat sunat) untuk 70 sahabatku, dengan menyebut setiap nama sahabat karibku."

Inilah contoh persahabatan orang mukmin pada zaman silam. Begitu akrab hingga disebut setiap nama sahabatnya dalam doa ketika sujud pada solat sunatnya, agar Allah s.w.t. ampuni dosa sahabatnya.

Tuhan puji orang mukmin zaman dahulu, sebagai manusia contoh hasil tarbiyah Nabi s.a.w. Berkata seorang solih bernama Muhammad bin Yusof Asfahani: "Di manakah kamu dapat bandingan kalau tidak dengan sahabatyang solih, kerana apabila kamu mati anak buahmu gembira lantaran akan mendapat pusaka dari harta tinggalanmu.

Tetapi sahabatmu yang salih apabila kamu mati, beliau akan keseorangan merindui padamu, runsing tentang dosa yang kamu lakukan dan akibatnya yang akan kamu terima di akhirat kelak."

Apabila seseorang mati lalu kebanyakan manusia bertanya: telah matikah si polan dan apakah pusaka yang ditinggalkan?

Tetapi para malaikat pula bertanya: apakah pahala atau dosa yang telah dikirim ke akhirat oleh si mati.

Begitulah bezanya antara ulasan manusia terhadap kematian seseorang, berbanding ulasan para malaikat tentang kematian seorang hamba.

Malaikat bertanya mengenai dosa pahala yang telah dikirim ke akhirat, kerana amalan buruk dan baik manusia dicatat oleh malaikat Roqib dan Atid.

Amalan buruk disimpan dalam stor yang bernama "sijjin" seperti firman Allah s.w.t. bermaksud:

"Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang derhaka tersimpan dalam sijjin."

Surah Al-Mutoffifin, ayat 7

Seperti amalan solih tersimpan dalam stor yang bernama " 'illiyyin " seperti yang ditegaskan firman-Nya yang bermaksud:

"Sekali-kali tidak, sesungguhnya kitab orang yang berbakti itu (tersimpan) dalam 'Illiyyin."

Surah Al-Mutoffifin, ayat 18
 
 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Surah Al-Hasyr, ayat 18

Allah s.w.t. peringatkan tentang apa yang dikirim untuk hari esok (akhirat), peringatan amat penting hingga Allah s.w.t. apit dengan dua kalimah takwa.

Pesanan-Nya ialah: perhatikan sungguh-sungguh apa yang diperbuat untuk bekalan akhirat. Ertinya segala gerak kerja manusia di dunia ini landasannya ialah takwa, selain takwa hanya jadi beban yang tidak tertanggung oleh manusia.

Cari ilmu atau harta untuk akhirat dasarnya takwa, termasuk masalah siasah pemerintahan negara mesti atas dasar takwa.

Tanda takwa ialah segala program berlandas Al-Quran, patut rasa malulah dakwa negara Islam tetapi tidak berpaksi Al-Quran.

Berkata ulama salaf: "Adapun doa untuk orang yang mati ibarat beri hadiah kepadanya ketika hidup. Orang mati gembira menerima hadiah doa seperti dia gembira menerima hadiah ketika hidup."

Ketika seseorang diberi tahu si fulan telah mati, dia segera menyebut "Innalillahi wainna ilaihi roji'un" kemudian berdoa dengan "Allahummaghfir lahu warhamhu wa'afihi wa'fu 'anhu," malaikat mencatatkan seolah-olah dia menziarahi dan sembahyang serta doakan jenazah si mati itu. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Orang mati di alam barzakh ibarat manusia lemas dalam air, akan berpaut apa jua yang hanyut di depannya."

Ahli kubur amat berharap pertolongan doa orang yang hidup, umpama orang yang lemas dalam air terlalu berharap sesuatu yang terapung hanyut di depannya untuk menyelamatkan dirinya.

Penghuni barzakh menunggu doa daripada anak-anak atau bapanya, serta saudaranya dan karib kerabatnya. Alangkah bahagianya jika semua yang dinanti mendoakan dia.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami dalam mentaati-Mu.

Solat dan Hubungannya Dengan Akhirat

  Gambar sekadar hiasan, diambil daripada http://hatiwanita.wordpress.com/




Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.


Oleh: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Dipetik daripada kitab Khusyuk dalam Solat

Ketahuilah bahawa hadir hati ketika menunaikan solat itu ialah 'himmah' atau semangat dan kemahuan, sejauh mana hasrat seseorang mempengaruhi tindakannya untuk mencapai sesuatu tujuan, sesungguhnya hati itu sering mengikut himmah. Umpama seorang yang berhasrat untuk mendapatkan harta kekayaan atau pangkat dan kedudukan, maka sudah pasti hatinya akan menurut himmah atas kemahuannya. Adalah mustahil seseorang yang bercita-cita untuk menjadi kaya sedangkan dia hanya duduk bersembang di warung-warung dari pagi hingga ke petang.

Hati seseorang itu tidak hadir kecuali kepada perkara yang menjadi cita-cita atau semangat kemahuannya. Ke mana jua tujuan hasrat seseorang itu pastilah hati akan bersama-samanya, dan diikuti oleh pergerakan atau perbuatan akan bersama kemahuan hati itu.

Sejauh mana hadirnya hati seseorang dalam solat adalah bergantung kepada sejauh mana perlunya solat itu bagi dirinya. Adakah solat itu sesuatu yang mustahak baginya? Tentu sekali solat ialah sesuatu yang sangat mustahak bagi manusia yang meyakini bahawa semuanya akan menemui mati dan akan dibangkitkan semula pada hari perhitungan di akhirat kelak. Kerana ibadah solat ialah amalan terawal akan menghadapi hitungan, selain itu hanya akan dihisab selepasnya.

Segala urusan yang diserahkan kepada seseorang mungkin terbengkalai jika dilakukan secara sambil lewa sahaja. Pekerjaan yang dibuat tidak bersungguh-sungguh adalah disebabkan ia tidak meminati urusan itu, atau mungkin urusan tersebut dirasanya tidak begitu penting baginya.

Sebaliknya jika sesuatu urusan itu mustahak sama ada ia mempunyai kepentingan terhadap urusan tersebut, atau disebabkan ia mempunyai natijah yang baik buat dirinya kelak. Maka dia akan melakukannya bukan sahaja dengan bersungguh-sungguh, malah sentiasa mengawasi dengan cermat dan teliti hingga menghasilkan kerja-kerja yang cemerlang.

Justeru itu, antara punca yang menjadikan hati seseorang lalai dalam solat adalah kerana mereka tidak menjadikan solat itu sebagai suatu urusan mustahak bagi dirinya. Apatah lagi jika mereka berfikir tiada bezanya orang yang mengerjakan solat dengan orang yang tidak melakukannya, mereka sama-sama boleh makan minum dan hidup selesa.

Adalah menjadi tabiat manusia apabila ia yakin suatu perkara itu penting bagi dirinya, sama ada ia suka atau tidak maka pekerjaan itu pasti dilakukannya dengan bersungguh hati dan fikirannya juga tertumpu sepenuhnya kepada pekerjaan itu. Hal ini demikian kerana tanpa tumpuan fikiran dan dorongan hasrat serta semangat, ia sudah menjangkakan bahawa kerja-kerja itu tidak akan tercapai dengan baik.

Sesungguhnya hati manusia yang tidak hadir bersama ketika mengerjakan solat itu tidak pula ketika itu ia berada dalam keadaan kosong atau duduk diam saja, bahkan hati itu akan merayau ke tempat lain. Hati itu juga akan tertumpu kepada perkara-perkara lain.

Seorang yang sedang duduk minum di warung-warung berjam-jam membuang waktu, apabila ia berfikir sekiranya masa yang terbuang itu digunakan untuk berniaga sudah tentu banyak keuntungan yang diperoleh hasil daripada perniagaannya. Jika masa satu jam ia boleh mendapat keuntungan sepuluh ringgit, maka bagaimana pula andainya ia menghabiskan masa dua jam, sudah tentu akan lebih daripada itu keuntungan yang bakal diperolehinya.

Sebab itu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya:

"Jika ada orang berkata mana-mana orang yang datang melakukan solat 'Isyak atau Subuh bersamanya nescaya akan diberinya seekor kambing tiap-tiap seorang, nescaya semua orang akan datang menunaikan solat 'Isyak berjama'ah bersamanya sekalipun datangnya dengan cara mengesot."

Sesungguhnya manusia tidak akan menganggap solat itu sebagai suatu perkara utama selama ia tidak menganggap bahawa solat itu sangat mustahak bagi dirinya ketika di hari akhirat kelak. Solat tidak akan dianggap sebagai suatu yang mustahak bagi urusan akhirat seseorang, sekiranya ia tidak merasakan bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal berbanding dengan kehidupan dunia yang memperdaya ini.

Manusia akan meninggalkan keuntungan yang bernilai lima ringgit jika ia tahu ada perniagaan yang menawarkan keuntungan sepuluh ringgit, dan sepulu ringgit itupun akan ditinggalkan jika ada perniagaan yang menawarkan keuntungan dua puluh ringgit dan seterusnya. Maka terpulanglah kepada seseorang itu untuk memikirkan mengenai akhirat itu lebih baik dan lebih kekal, orang yang tahu memilih tidak mungkin akan membiarkan kebaikan akhirat dan segala ganjarannya terlepas begitu saja, sedangkan keuntungan dunia yang tidak seberapa itu pun tidak dilepaskannya.

Ya ALLAH, kukuhkanlah ikatan pergantungan kami kepada-Mu. Keredhaan-Mu matlamat buruan kami. Tetapkan kami ikhlas dalam mentaati-Mu.

Seringan-ringan Seksaan di Neraka


 
 
 
Kepanasan api dunia jauh terlalu kecil dibandingkan dengan kepanasan api neraka. Pohonlah keampunan dan pemeliharaan Allah daripada seksaan api neraka.


Assalaa mu'alaikum w.b.t., Salam Mahabbah Fillah dan Perjuangan,

Segala puji milik Tuhan Yang Maha Agung Pemilik Seluruh Alam ini, selawat dan salam atas Rasul Junjungan, Nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Ya Allah ajarkan kepada kami 'ilmu yang bermanfaat, dan berikan manfaat kepada kami daripada 'ilmu yang Kau ajarkan.

Oleh Al-Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki
Dipetik daripada kitab 40 Hadits Penawar Hati


Ertinya:

Daripada Nu'man bin Basyir rodhiallahu 'anhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya seringan-ringan seksaan penghuni neraka pada hari qiamat ialah seseorang yang akan diletakkan di bawah telapak kakinya dua buah bara api neraka sehingga mendidih (dari sebab panas kedua-dua bara api tersebut) otak yang ada di kepalanya. Dia tidak mengira bahawa ada orang lain yang lebih dahsyat seksaan daripadanya, padahal dialah orang yang paling ringan seksaannya."

Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim

Keterangan:

Cuba kita bayangkan betapa dahsyatnya seksaan yang paling ringan di neraka, dengan bahang kedua-dua bara api yang diletakkan di bawah tapak kaki sudah boleh mendidihkan otak yang ada di atas kepala, maka betapa pula seksaan yang lebih berat. Rasanya tidak ada seorang pun yang mampu untuk berdiri di atas bara api yang panas yang boleh menggelegakkan otak yang ada di kepala. Kalau kita tersentuh sedikit sahaja dengan api dunia ini, kita sudah menjerit kepanasan dan tidak akan mampu menahannya walaupun hanya dalam masa sehari atau seminggu sahaja. Cuba bayangkan betapa pedihnya seksaan yang berterusan dan dari saat ke saat hanya bertambah panas di samping tekanan jiwa dengan putus harapan daripada selamat walaupun setelah jutaan tahun yang akan datang.

Orang yang akan diseksa dengan seksaan yang paling ringan ialah bapa saudara Nabi s.a.w. yang bernama Abu Thalib, kerana walaupun beliau mati dalam keadaan kafir, namun segala jasanya dalam mengasuh Rasulullah s.a.w. sewaktu Baginda masih kecil dan dengan pembelaannya terhadap Baginda setelah diangkat menjadi Rasul, semua ini menyebabkan Abu Thalib mendapat sedikit keringanan apabila dibandingkan dengan orang-orang kafir yang lain.

RENUNGAN


Pintu Depan Masjid Jamek Paka

Pintu Depan Masjid Jamek Paka