Apa yang berlaku kepada kebanyakan masjid-masjid di negara kita pada hari ini amat mendukacitakan sekali. Tidak sebagaimana peranannya pada peringkat awal Islam, masjid sekarang tidak lagi dianggap sebagai sebuah instusi yang berperanan besar dalam membina peradaban manusia. Lantaran itu, masjid sekarang sudah hilang daya persona untuk menarik masyarakat terutama golongan belia dan remaja untuk ke sana.
Ketiadaan kegiatan yang bercorak kebudayaan, ekonomi, sosial dan sebagainya merupakan faktor-faktor yang menjauhkan masyarakat terutama golongan muda untuk ke masjid, sedangkan unsur-unsur ini diperlukan oleh fitrah manusia.

Sebenarnya unsur-unsur kebudayaan, ekonomi, sosial dan sebagainya boleh dijalankan di kawasan masjid. Akan tetapi disebabkan kita telah menyempitkan fungsi masjid, maka fenomena di mana masjid dianggap sebagai tempat ibadat semata-mata dapat dilihat di serata tempat. Akhirnya masjid-masjid yang dibina dengan kos mencecah puluhan juta ringgit yang berdiri megah itu hanya berperanan sebagai lambang agama Islam sahaja.
Berlainan dengan fungsi dan peranannya pada zaman kegemilangan Islam, masjid merupakan sebuah institusi di mana setiap aktiviti umat Islam, baik yang berbentuk kemasyarakatan, pendidikan, iqtisad, siasah, riadah dan sebagainya dijalankan. Dengan kata lain, masjid pada zaman tersebut berfungsi sebagai pemangkin kepada aktiviti-aktiviti harian masyarakat.
Kepentingan institusi masjid dapat kita perhatikan melalui sejarah pembinaan Masjid Quba.

Pembinaan Masjid Quba merupakan antara� perkara utama yang dilakukan oleh nabi s.a.w semasa penghijrahan baginda ke kota Madinah. Jika kita berpendapat bahawa nabi s.a.w membina masjid tersebut untuk tujuan solat sahaja, kita silap. Ini kerana menurut syariat yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w, orang Islam boleh bersolat di mana-mana, asalkan tempat itu bersih.

Jadi tidak timbul tujuan pembinaan masjid untuk bersolat atau menunjuk-nunjuk kemewahan mata-mata kerana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Hibban dan Abu Daud nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud:

"Aku tidak menyuruh kamu membangunkan masjid untuk kemewahan (keindahan) sebagaimana yang dilakukan kaum Yahudi dan Nasrani"

Apa yang jelas fungsi masjid pada zaman nabi dan zaman kegemilangan Islam, amat banyak sekali dan ia mencakupi pelbagai bidang kehidupan. Sebagai contoh, masjid Nabawi pernah menjadi pusat perlindungan kepada musafir dan orang miskin. Ia juga merupakan tempat di mana nabi bermesyuarat dengan para sahabat untuk mendapatkan pandangan tentang sesuatu perkara. Bukankah fungsi-fungsi ini dikenali sebagai fungsi sebuah pertubuhan kemasyarakatan dan fungsi sebuah "think tank" dalam konteks sekarang? Bukankah masjid merupakan tempat di mana nabi menyusun angkatan tentera Islam sebelum pergi berperang? Bukankah masjid juga merupakan tempat untuk mencari ketenangan bagi mengembalikan kekuatan minda selepas dilanda kepenatan fikiran dan kekusutan emosi?

Masyarakat sekarang suka ke tempat-tempat yang boleh menyediakan pelbagai keperluan mental dan fizikal mereka di bawah satu bumbung. Bagi sesiapa yang biasa mengunjungi Mid Valley atau Suria KLCC tentu tahu apa yang penulis maksudkan di sini. Cuba perhatikan siapakah pengunjungnya? Ada orang dewasa, remaja, kanak-kanak malah golongan tua. Kenapa? Kerana tempat-tempat ini menawarkan pelbagai keperluan dalam pelbagai bentuk untuk semua peringkat umur.

Bukan penulis bermaksud untuk menyarankan agar masjid-masjid meniru bulat-bulat apa yang berlaku di kedua-dua tempat ini. Apa yang dimaksudkan di sini ialah pihak berwajib atau pihak pengurusan masjid perlu memikirkan cara untuk menarik minat semua pihak untuk ke masjid dan seterusnya memakmurkan rumah Allah ini.
Tapi siapa yang mahu ke masjid jika ia hanya dibuka pada waktu sembahyang sahaja? Kalau kita singgah untuk sembahyang Isya selepas pukul 9.30 malam, kita akan dapati kebanyakan masjid gelap dan berkunci. Begitu juga pada awal dinihari.

Alasannya untuk mengelak kecurian harta masjid. Alasan tersebut ada kebenarannya. Walau bagaimanapun kita juga perlu mencari penyelesaian lain (selain daripada mengunci masjid) kepada masalah yang dijadikan alasan tersebut.
Apa yang jelas, kelesuan masjid pada hari ini juga banyak berpunca daripada kongkongan yang dikenakan ke atasnya oleh pihak berwajib. Bukan hendak menyalahkan pihak berkuasa seratus peratus, kerana ia berpunca daripada penyalahgunaan mimbar atau dewan masjid itu sendiri oleh mereka yang tidak bertangungjawab untuk kepentingan peribadi mereka.

Kongkongan ini perlu dileraikan dan masyarakat pula perlu menggunakan masjid secara beretika sesuai dengan fungsi sebagai rumah Allah. Di samping itu pengurusan masjid perlu dilakukan secara profesional dan adalah lebih baik jika ia ditadbir sebagaimana sebuah institusi korporat diuruskan. Jika ini dapat diharmonikan, fungsi masjid akan menjadi lebih bermakna kerana akan berlaku pengembangan aktiviti dan percambahan dalam bidang keilmuan.

Jadi sudah tiba masanya kita mengembalikan peranan dan fungsi institusi masjid ini sebagaimana sewajarnya. Jika tidak 5266 masjid yang berdaftar di Malaysia (perangkaan 2003) akan terus lesu.� Sebarang usaha untuk mengembalikan kegemilangan institusi masjid perlu juga mengambilkira keperluan dan cara hidup masyarakat sekarang. Kita tidak seharusnya menjumudkan fikiran kita dengan pelbagai kekangan yang tidak munasabah kerana istilah kejumudan keilmuan dan peradaban tidak adalah dalam kamus Islam.

Justeru itu, kegiatan-kegiatan yang hendak dijalankan tidak seharusnya hanya menjurus kepada kegiatan yang berbentuk kerohanian semata-mata. Unsur-unsur yang diperlukan oleh fitrah manusia seperti kesenian, pendidikan, kemasyarakatan, komunikasi dan sebagainya perlu juga diberi perhatian dan dijadikan sebagai satu kegiatan tetap masjid.

Kita mahu melihat pada suatu hari nanti ada masjid-masjid di Malaysia yang berkembang dan berevolusi sebagaimana masjid al-Azhar berevolusi menjadi sebuah universiti yang akhirnya memberi sumbangan yang besar kepada peradaban Islam.